Isteri Solehah, Keutamaannya dan Sifat-SifatNya

teuiyo (135)(oleh Al-Ustadzah Ummu Ishaq Zulfa Husein Al-Atsariyyah)

Apa yang sering diangan-angankan oleh kebanyakan lelaki berkenaan wanita yang bakal menjadi teman hidupnya? Cantik, kaya, mempunyai kedudukan, pekerjaan  bagus, dan baik pada suami. Inilah yang selalu diangan-angankan. Sebuah keinginan yang lebih tepat disebut angan-angan, kerana jarang adanya wanita yang memiliki sifat-sifat demikian. Kebanyakan lelaki lebih memperhatikan penampilan zahir, sementara unsur akhlak dari wanita tersebut kurang diperhatikan. Padahal akhlak dari pasangan hidupnya itulah yang akan banyak mempengaruhi kebahagiaan rumah tangganya.

Seorang muslim yang soleh, ketika membangunkan mahligai rumah tangga maka yang menjadi dambaan dan cita-citanya adalah agar kehidupan rumah tangganya kelak berjalan dengan baik, dipenuhi kasih saying dan rahmat, sarat dengan kebahagiaan, adanya saling ta‘awun (tolong menolong), saling memahami dan saling mengerti. Dia juga mendamba untuk memiliki isteri yang pandai meletakkan diri untuk menjadi naungan ketenangan bagi suami dan tempat beristirahat dari rumitnya kehidupan di luar. Ia berharap dari rumah tangga itu kelak akan lahir anak keturunannya yang soleh yang menjadi qurratu a‘yun (penyejuk mata) baginya.

Demikian harapan demi harapan diharapnya sambil meminta kepada Ar-Rabbul A‘la (Allah Yang Maha Tinggi) agar dimudahkan segala urusannya.

Namun tentunya apa yang menjadi dambaan seorang muslim ini tidak akan terwujud dengan baik terkecuali apabila wanita yang dipilihnya untuk menemani hidupnya adalah wanita solehah. Kerana hanya wanita solehah yang dapat menjadi teman hidup yang sebenarnya dalam suka mahupun duka, yang akan membantu dan mendorong suaminya untuk taat kepada Allah. Hanya dalam diri wanita solehah tertanam aqidah tauhid, akhlak yang mulia dan budi pekerti yang luhur. Dia akan berupaya ta‘awun dengan suaminya untuk menjadikan rumah tangganya sebuah bangunan yang kuat lagi kukuh untuk menyediakan generasi Islam yang diredhai Ar-Rahman.

Sebaliknya, apabila yang dipilih sebagai pendamping hidup adalah wanita yang tidak terdidik dalam agama [1] dan tidak berpegang dengan agama, maka dia akan menjadi duri dalam daging dan musuh dalam selimut bagi suami. Akibatnya rumah tangga selalu sarat dengan kepayahan, pertengkaran, dan perselisihan. Isteri seperti inilah yang sering dikeluhkan oleh para suami, sehingga ada di antara mereka yang berkata: “Aku telah berbuat baik kepadanya dan memenuhi semua haknya namun ia selalu menyakitiku.”

Duhai kiranya wanita itu tahu betapa besarnya hak suaminya,  duhai kiranya dia tahu akibat yang akan diperoleh dengan menyakiti dan melukai hati suaminya! Namun dari mana pengetahuan dan kesedaran itu akan didapatkan apabila dia jauh dari pengajaran dan bimbingan agamanya yang haq? Wallahu Al-Musta‘an.

Keutamaan Wanita Solehah

Abdullah bin Amr radiyallahu anhu meriwayatkan sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:

“Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan [2] dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” (HR. Muslim no. 1467)

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama  bersabda kepada Umar ibnul Khaththab radiyallahu anhu:

“Mahukah aku beritakan kepadamu tentang sebaik-baik perbendaharaan seorang lelaki, iaitu isteri solehah yang bila dipandang akan menyenangkannya [3], bila diperintah [4] akan mentaatinya [5], dan bila ia pergi si isteri ini akan menjaga dirinya.” (HR. Abu Dawud no. 1417. Asy-Syaikh Muqbil berkata dalam Al-Jami’ush Sahih 3/57: “Hadis ini sahih di atas syarat Muslim.”)

Berkata Al-Qadhi ‘Iyyadh rahimahullah: “Tatkala Nabi menerangkan kepada para sahabatnya bahawa tidak berdosa mereka mengumpulkan harta selama mereka menunaikan zakatnya, baginda memandang perlunya memberi khabar gembira kepada mereka dengan menganjurkan mereka kepada apa yang lebih baik dan lebih kekal iaitu isteri yang solehah yang cantik (lahir batinnya) kerana ia akan selalu bersamamu menemanimu. Apabila engkau memandangnya ia menyenangkanmu, ia tunaikan keperluanmu apabila engkau memerlukannya. Engkau dapat bermusyawarah (berbincang) dengannya dalam perkara yang dapat membantumu dan ia akan menjaga rahsiamu. Engkau dapat meminta bantuannya dalam keperluan-keperluanmu, ia mentaati perintahmu dan apabila engkau meninggalkannya ia akan menjaga hartamu dan memelihara dan mengasuh anak-anakmu.” (‘Aunul Ma‘bud, 5/57)

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama pernah pula bersabda:

“Empat perkara termasuk daripada kebahagiaan, iaitu wanita (isteri) yang solehah, tempat tinggal yang luas/lapang, tetangga yang soleh, dan tunggangan (kendaraan) yang baik. Dan  empat perkara yang merupakan kesengsaraan iaitu tetangga yang buruk, isteri yang buruk (tidak solehah), kendaraan yang tidak selesa, dan tempat tinggal yang sempit.” (HR. Ibnu Hibban dalam Al-Mawarid hal. 302, disahihkan Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’ush Sahih, 3/57 dan Asy-Syaikh Albani dalam Silsilah Al-Ahadis As-Sahihah no. 282)

Ketika Umar ibnul Khaththab radiyallahu anhu bertanya kepada Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama: “Wahai Rasulullah, harta apakah yang sebaiknya kita miliki?” Baginda menjawab: “Hendaklah salah seorang daripada kalian memiliki hati yang bersyukur, lisan yang senantiasa berzikir dan isteri mukminah yang akan menolongmu dalam perkara akhirat.” (HR. Ibnu Majah no. 1856, disahihkan Asy-Syaikh Albani rahimahullah dalam Sahih  Ibnu Majah no. 1505)

Cukuplah kemuliaan dan keutamaan bagi wanita solehah dengan anjuran Rasulullah bagi lelaki yang ingin menikah untuk mengutamakannya dari yang selainnya. Baginda bersabda:

“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah olehmu wanita yang mempunyai agama, engkau akan beruntung.” (HR. Al-Bukhari no. 5090 dan Muslim no. 1466)

Empat hal tersebut merupakan faktor penyebab dipinangnya seorang wanita dan ini merupakan pengkhabaran berdasarkan kenyataan yang biasa terjadi di tengah manusia, bukan suatu perintah untuk mengumpulkan perkara-perkara tersebut, demikian kata Al-Imam Al-Qurthubi . Namun zahir hadis ini menunjukkan boleh menikahi wanita kerana salah satu dari empat perkara tersebut, akan tetapi memilih wanita kerana agamanya lebih utama. (Fathul Bari, 9/164)

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata, “Maknanya: yang sepatutnya bagi seorang yang beragama dan memiliki muruah (adab) untuk menjadikan agama sebagai petunjuk pandangannya dalam segala sesuatu terlebih lagi dalam suatu perkara yang akan tinggal lama bersamanya (isteri). Maka Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama memerintahkan untuk mendapatkan seorang wanita yang memiliki agama di mana hal ini merupakan puncak keinginannya.” (Fathul Bari, 9/164)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: “Dalam hadis ini ada anjuran untuk berteman/bersahabat dengan orang yang memiliki agama dalam segala sesuatu kerana ia akan mengambil manfaat dari akhlak mereka (teman yang baik tersebut), keberkatan mereka, baiknya jalan mereka, dan aman dari mendapatkan kerosakan  mereka.” (Syarah Sahih Muslim, 10/52)

Sifat-sifat Isteri Solehah

Allah  berfirman: “Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka.” (An-Nisa: 34)

Dalam ayat yang mulia di atas disebutkan di antara sifat wanita solehah adalah taat kepada Allah dan kepada suaminya dalam perkara yang ma‘ruf [6] lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.

Asy-Syaikh Abdurrahman bin Nashir As-Sa‘di rahimahullah berkata: “Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Rabbnya dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman:

“Wanita solehah adalah yang taat,” yakni taat kepada Allah , “Lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada.” Yakni taat kepada suami mereka bahkan ketika  suaminya tidak ada (sedang bepergian, pen.), dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya.”  (Taisir Al-Karimir Rahman, hal.177)

Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sehingga baginda bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah menyatakan kepada Rasul-Nya:

“Jika sampai Nabi menceraikan kalian, [7] mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat, taibat, ‘abidat, saihat  dari kalangan janda ataupun gadis.”  (At-Tahrim: 5)

Dalam ayat yang mulia di atas disebutkan beberapa sifat isteri yang solehah iaitu:

a. Muslimat: Wanita-wanita yang ikhlas (kepada Allah), tunduk kepada perintah Allah ta‘ala dan perintah Rasul-Nya.

b. Mukminat: Wanita-wanita yang membenarkan perintah dan larangan Allah.

c. Qanitat: Wanita-wanita yang taat.

d. Taibat: Wanita-wanita yang selalu bertaubat dari dosa-dosa mereka, selalu kembali kepada perintah (perkara yang ditetapkan) Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama walaupun harus meninggalkan apa yang disenangi oleh hawa nafsu mereka.

e. ‘Abidat: Wanita-wanita yang banyak melakukan ibadah kepada Allah Ta’ala (dengan mentauhidkannya kerana semua yang dimaksud dengan ibadah kepada Allah Ta’ala di dalam Al-Qur’an adalah tauhid, kata Ibnu Abbas radiyallahu anhuma).

f. Saihat: Wanita-wanita yang berpuasa.  (Al-Jami‘ li Ahkamil Qur’an, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132)

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama menyatakan: “Apabila seorang wanita solat lima waktu, puasa sebulan (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai.” (HR. Ahmad 1/191, disahihkan Asy-Syaikh Albani rahimahullah dalam Sahihul Jami’ no. 660, 661)

Dari dalil-dalil yang telah disebutkan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:

1. Mentauhidkan Allah dengan mempersembahkan ibadah hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.

2. Tunduk kepada perintah Allah , terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah, dan selainnya. Membenarkan segala perintah dan larangan Allah.

3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah.

4. Sentiasa kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya sehingga lisannya senantiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang laghwi, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta, ghibah (mengumpat), namimah, dan lainnya.

5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.

6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar. Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.

Sifat isteri solehah lainnya boleh kita lihat berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan setelahnya:

1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya.

Rasulullah bersabda :

“Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kalian yang menjadi penghuni jannah iaitu isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: “Aku tak dapat tidur sehingga engkau redha.” (HR. An-Nasai dalam Isyratun Nisa no. 257. Silsilah Al-Ahadis As Sahihah, Asy-Syaikh Albani, no. 287)

2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian, dan yang semacamnya.

3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya. Asma’ binti Yazid menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: “Barangkali ada seorang suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (saat berhubungan intim), dan barangkali ada seorang isteri yang mengkhabarkan apa yang diperbuatnya bersama suaminya?”  Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: “Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami).” Baginda bersabda:

“Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya.” (HR. Ahmad 6/456, Asy-Syaikh Albani rahimahullah dalam Adabuz Zafaf (hal. 63) menyatakan  ada syawahid (pendukung) yang menjadikan hadis ini sahih atau paling sedikit hasan)

4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga apabila suaminya memandangnya akan menyenangkannya. Rasulullah bersabda:

“Mahukah aku beritakan kepadamu tentang sebaik-baik perbendaharaan seorang lelaki, iaitu isteri solehah yang apabila dipandang akan menyenangkannya, apabila diperintah akan mentaatinya dan apabila ia pergi si isteri ini akan menjaga dirinya”. (HR. Abu Dawud no. 1417.  Asy-Syaikh Muqbil rahimahullah berkata dalam Al-Jami’ush Sahih 3/57: “Hadis ini sahih di atas syarat Muslim.”)

5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta‘ (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan. Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama bersabda:

“Tidak halal bagi seorang isteri berpuasa (sunnah) sementara suaminya ada kecuali dengan izinnya”. (HR. Al-Bukhari no. 5195 dan Muslim no. 1026)

6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya, kerana Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama pernah bersabda:

“Diperlihatkan neraka kepadaku, ternyata aku dapati kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita yang kufur.” Ada yang bertanya kepada baginda: “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab: “Mereka mengkufuri suami dan mengkufuri (tidak mensyukuri) kebaikannya. Seandainya salah seorang dari kalian berbuat baik kepada seorang di antara mereka (isteri) setahun penuh, kemudian dia melihat darimu sesuatu (yang tidak berkenan baginya) nescaya dia berkata: “Aku tidak pernah melihat darimu kebaikan sama sekali.” (HR. Al-Bukhari no. 29 dan Muslim no. 907)

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama juga pernah bersabda:

“Allah tidak akan melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya padahal dia memerlukannya.” (HR. An-Nasai dalam Isyratun Nisa. Silsilah Al-Ahadis As-Sahihah no. 289)

7. Bersegera memenuhi ajakan suami untuk memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syar‘i, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, karena ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah sallallahu alaihi wa sallama:

“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak (enggan) melainkan yang di langit murka terhadapnya hingga si suami redha padanya.” (HR. Muslim no.1436)

“Apabila seorang isteri bermalam dalam keadaan meninggalkan tempat tidur suaminya, nescaya para malaikat melaknatnya sampai ia kembali (ke suaminya).” (HR. Al-Bukhari no. 5194 dan Muslim no. 1436)

Demikian yang dapat kami sebutkan dari keutamaan dan sifat-sifat isteri solehah, mudah-mudahan Allah memberi taufik kepada kita agar dapat menjadi wanita yang solehah, amin.

Nota Kaki:

[1] Atau ia belajar agama namun tidak mengamalkannya.

[2] Tempat untuk bersenang-senang (Syarah Sunan An-Nasai oleh Al-Imam As-Sindi t, 6/69).

[3] Kerana keindahan dan kecantikannya secara zahir atau kerana bagusnya akhlaknya secara batin atau kerana dia senantiasa menyibukkan dirinya untuk taat dan bertakwa kepada Allah Ta’ala (Ta‘liq Sunan Ibnu Majah, Muhammad Fuad Abdul Baqi, Kitabun Nikah, bab Afdhalun Nisa, 1/596, ‘Aunul Ma‘bud, 5/56).

[4] Dengan perkara syar‘i atau perkara biasa (‘Aunul Ma‘bud, 5/56).

[5] Mengerjakan apa yang diperintahkan dan melayaninya (‘Aunul Ma‘bud, 5/56).

[6] Bukan dalam bermaksiat kepada Allah Ta’ala, kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam bermaksiat kepada Al-Khaliq.

[7] Allah Maha Mengetahui bahwasanya Nabi-Nya tidak akan menceraikan isteri-isterinya (ummahatul mukminin), akan tetapi Allah mengkhabarkan kepada ummahatul mukminin tentang kekuasaan-Nya, bila sampai Nabi menceraikan mereka, Dia akan menggantikan untuk baginda isteri-isteri yang lebih baik daripada mereka dalam rangka menakuti-nakuti mereka. Ini merupakan pengkhabaran tentang qudrah Allah dan ancaman untuk menakut-nakuti isteri-isteri Nabi , bukan bererti ada orang yang lebih baik daripada shahabat Nabi sallallahu alaihi wa sallama (Al-Jami‘ li Ahkamil Qur’an, 18/126) dan bukan bererti isteri-isteri baginda tidak baik bahkan mereka adalah sebaik-baik wanita. Al-Qurthubi berkata: “Permasalahan ini dibawa kepada pendapat yang mengatakan bahawa penggantian isteri dalam ayat ini merupakan janji dari Allah untuk Nabi-Nya, seandainya baginda menceraikan mereka di dunia Allah akan menikahkan baginda di akhirat dengan wanita-wanita yang lebih baik daripada mereka.” (Al-Jami‘ li Ahkamil Qur’an, 18/127)

Sumber: http://asysyariah.com/isteri-solehah-keutamaan-dan-sifat-sifatnya.html

Sumber nukilan asal: http://salafy.my/artikel/kewanitaan/isteri-solehah-keutamaannya-dan-sifat-sifatnya/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s